:
Pengenalan%20Sekolah


Sekolah Rendah Islam SRI Johor Bahru (SRIJB) telah ditubuhkan pada tahun 1989 di Hartanah Waqaf Pendidikan Almarhumah Tunku Ampuan Mariam Binti Almarhum Sultan Abu Bakar yang dirujuk sebagai Waqaf Tunku Ampuan Maryam (WTAM) di Jalan Abdul Rahman Andak, Johor Bahru. Dahulunya tapak ini merupakan tapak asal Kolej Tunku Ampuan Mariam (KTAM) yang diasaskan oleh Almarhumah Tan Sri Zainun binti Munsyi Sulaiman atau lebih dikenali dengan panggilan Ibu Zain.

 
Sekolah SRI Johor Bahru merupakan sebuah institusi pendidikan rendah yang berdaftar dengan Jabatan Pelajaran Negeri Johor (JPNJ) dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAIJ). Walaupun ianya dikategorikan sebagai sebuah sekolah swasta, namun operasinya bukan berasaskan keuntungan. Dengan menggunakan Kurikulum Bersepadu iaitu Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Sekolah Rendah Agama Johor serta pembangunan insan berasaskan nilai-nilai Pendidikan Al-Hikmah (PAH), kini telah mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam dunia pendidikan.
 
Setelah 30 tahun beroperasi, Sekolah SRI Johor Bahru telah melahirkan lebih 3,000 orang alumni SRIJB. Sistem pendidikan Islam bersepadu yang ditawarkan ini telah mendapat sokongan yang menggalakkan daripada masyarakat Islam setempat khususnya di daerah Johor Bahru serta masyarakat Islam antarabangsa termasuk dari Negara Singapura, Indonesia, Filipina, Thailand dan Myanmar.

 

Sekolah SRI Johor Bahru juga merupakan salah sebuah sekolah SERI/SEMI yang menyertai program kurikulum dan ko-kurikulum yang dianjurkan oleh pentadbiran Yayasan Takmir Pendidikan (YTP) iaitu institusi yang diamanahkan oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) bagi mengawal selia pendidikan dan pentadbiran sekolah-sekolah yang dimiliki oleh ABIM di seluruh Malaysia.